Oleh Rusnizam Mahat
SHAH ALAM 5 Ogos - Pertubuhan mewakili golongan mahasiswa di dalam dan luar negara mengecam tindakan ganas dan tidak berperikemanusian yang dilakukan pihak keselamatan terhadap peserta perhimpunan aman majlis mengenang kezaliman 50 tahun Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ahad lalu.
Persatuan mahasiswa tersebut menyelar tindakan polis dan anggota Unit Simpannan Persekutuan (FRU) yang membelakangkan prinsip dan hak kebebasan bersuara seperti yang dijamin dalam Perlembagaan negara.
Pertubuhan Demokratik Mahasiswa Bersekutu (PDMB) memberi amaran kepada kerajaan supaya segera memansuhkan ISA dan Akta Universiti dan Kolej (Auku).
Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mahasiswa akan memberikan undi mereka kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum ke-13 nanti.
"Kami mahasiswa bersekutu di UKM, UM, USM, UUM, UIA, UPSI, UiTM, UTM, UPM, UMSbh, UMSwk dan lain-lain IPTA dan IPTS bersama-sama dengan Selproa dan jutaan rakyat Malaysia yang membenci ISA dan mahu akta zalim ini dihapuskan. Kami berjanji akan mengundi calon-calon Pakatan Rakyat dalam PRU-13 jika ISA dan AUKU tidak dihapuskan sebelum PRU-13," kata PDMB dalam satu kenyataan.
PDMB menyifatkan tindakan liar dan ganas pihak keselamatan terhadap peserta himpunan ISA minggu lalu didalangi oleh Umno-Barisan Nasional.
"Ini kata dua kami kepada kerajaan Umno-BN. Oleh itu jangan mempersendakan pelajar IPTA/IPTS dengan kebusukan undang-undang Auku dan beri kebebasan kepada kami untuk berpolitik, jangan hanya guru sahaja dibenarkan sedangkan mereka 100 peratus penyokong secara paksa dan tanpa rela kepada Umno," tegas presidennya Iskandar Zulkarnain.
Kenyataan tersebut merupakan reaksi daripada desakan Timbalan Presiden Keadilan, Senator Dr Syed Husin Ali di Dewan Negara Parlimen Isnin lalu berhubung pemanansuhan Auku dan penglibatan politik mahasiswa.
Menurut Iskandar lagi, PDMB yang dianggotai 99 pertubuhan mahasiswa dari Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta di seluruh negara turut membantah sekerasnya penahanan empat mahasiswa Universiti Malaya semasa pilihan raya kecil di Hulu Selangor April lalu.
"Pertuduhan tersebut bersifat jahat, berat sebelah dan menghina tujuan baik pelajar tersebut untuk membuat kaji selidik berkenaan dengan kemantapan dan keberkesanan kempen pilihan raya dan gejala rasuah dalam siri pilihan raya kecil.
"Kami menyeru kerajaan Umno-BN supaya bertindak waras dan profesional, jika guru diberi kebebasan berpolitik kenapa kami kumpulan mahasiswa bakal pemimpin masa depan yang dedikasi dan berkarisma dinafikan hak kebebasan berpolitik mengikut pilihan dan kefahaman kami," ujar beliau.
Sementara itu sokongan menuntut ISA dan Aiku dimansuhkan turut diterima dari bekas Persatuan Pelajar UTAR (KL), TARC (KL), Liverpool John Moores University (UK), Sheffield Hallam Universtiry (UK), Curtin Universiti (Miri), Swinburn University (Kch) dan Sunway Universtity yang membantah sekeras-kerasnya kewujudan kedua-dua akat zalim tersebut.
"Akta zalim berkenaan telah menafikan hak asasi tokoh politik, rakyat dan mahasiswa di negara ini. Kami berjanji akan mengundi pihak yang berkaliber untuk memansuhkan ISA dan Auku yang sedia ada dalam PRU-13 akan datang," tegas kumpulan pertubuhan mahasiswa tersebut.
-Sumber-
www.suara-keadilan.com
No comments:
Post a Comment