Suara Murni


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, December 13, 2008

Hari Raya Haji

Umumnya, Hari Raya 'Idul Adha ataupun lebih dikenali juga dengan nama Hari Raya Korban kerana pada hari tersebut kebanyakan umat Islam di seluruh dunia akan mengorbankan sekurang-kurangnya seekor binatang ternakan yang cukup umur. Sejarahnya bermula ketika Nabi Ibrahim telah mendapat wahyu supaya menyembelihnya anaknya Nabi Ismail. Dari situ, kita dapat melihat bahawa ayahnya Nabi Ibrahim begitu taat dan patuh pada pencipta-Nya meskipun itu adalah anak kesayangannya. Maka, bermulalah amalan melakukan korban di seluruh dunia-dunia Islam yang telah disampaikan melalui pelbagai bentuk.

Secara keseluruhannya, proses menjalankan ibadah korban dapat dijadikan iktibar kepada kita sebagai umat Islam kerana ia memerlukan suatu pengorbanan yang besar dalam kehidupan. Sebagai seorang pelajar muslim, kita perlu mengorbankan masa demi mencapai cita-cita kelak. Oleh itu, marilah kita bersama-sama mengorbankan jiwa dan raga demi memperjuang din Islam suatu hari nanti.



Thursday, December 4, 2008

Brothers - Teman Sejati

Sebenarnya, ingin aku tujukan nasyid ini pada seorang teman karib aku yang bernama Abdurrahman Naufal bin Mohd.Hatta. Semenjak aku mengenalinya ketika di tingkatan 2, beliau banyak mengajar aku mengenai kehidupan. Aku bersyukur sangat kerana Allah telah pertemukan aku dengannya. Bagi aku, beliaulah antara yang terbaik dalam kehidupan aku malahan hanya beliaulah yang boleh membuatkan aku tersenyum lebar sehingga sukar untuk diberhentikan. Andai beliau membaca artikel ini, diharap saudara dapat menerima aku seadanya. Hanya Allah sahaja yang tahu mengenai keakraban kita.

Rumahku Ditimpa Bencana

Gambar banglo di atas merupakan rumah kebanggaan aku kerana di sinilah aku mengenal erti kehidupan yang sememangnya penuh dugaan. Setelah aku dilahirkan ke muka bumi ini, rumah ini hampir siap sepenuhnya di bawah rekaan ayah aku sendiri. Malahan, aku bangga dengan kekreatifan ayah aku dalam mereka cipta rupa bentuk rumah ini. Tahun ini genaplah 15 tahun rumah ini bertapak di Kubang Kerian. Aku berasa begitu bersyukur kerana rumah tersebut terbina sebaris dengan masjid. Memang strategik sekali di mana letaknya rumah ini, ayah aku sememangnya bijak mencari tempat yang sesuai supaya boleh membina sebuah mahligai kebahagian kami semua. Cuma, kini aku jarang pulang ke sana kerana aku masih menetap di negeri lain. Kami masih berada di negeri Selangor untuk menyempurnakan tugas masing-masing. Kemungkinan aku akan menetap di sini ketika ayah aku sudah bersara dari bekerja dan aku pula habis belajar.

Sejak akhir-akhir ini, rumah yang aku cintai ini telah hampir dimasuki oleh seorang penagih dadah. Pada masa kejadian, nenek aku sedang tidur dan tiba-tiba ada tangan yang menjolok masuk melalui tingkap. Lalu, nenek aku dengan keadaan cemas terus menjerit menunjukkan reaksi ketakutan. Sejurus kemudian, jiran-jiran sebelah terus mengejar penagih dadah tersebut namun gagal untuk menangkap kembali. Cuma nenek aku berasa lega kerana beg tangan yang diambil itu tidak mempunyai sebarang barang kepentingan termasuklah kad pengenalan. Dalam minggu yang sama, satu kejadian lagi telah berlaku iaitu banjir melanda rumah aku. Tapi, aku bersyukur kerana banjir itu tidak masuk ke dalam rumah tetapi hampir naik ke anak tangga.

Sebenarnya, sudah lama aku tidak pulang ke sana sejak hari raya puasa sebelum ini. Oleh itu, aku akan pulang ke sana untuk menyambut hari raya haji pula pada hari Sabtu jika keadaan banjir di sana kian pulih sepenuhnya. Aku berasa sedikit kecewa kerana pada tahun hadapan aku mungkin tidak berpeluang untuk pulang berkali-kali kerana aku bakal menduduki peperiksaan SPM. SPM jugalah akan menentukan arah tuju aku pada masa akan datang kelak. Aku bercadang untuk menyambung belajar di Jordan mahupun UIA dalam jurusan bahasa Arab dan syari'ah.

Wednesday, December 3, 2008

Hanya Setahun Lagi Aku Di Sini

Sekolah Islam al-Amin Bangi merupakan tempat pertama aku mengutip segala mutiara yang bercahaya. Di sini, aku telah ditarbiyahkan oleh didikan agama yang menyeluruh. Aku berasa bersyukur kerana aku dihantar ke sini dengan pelbagai tujuan. Apa yang aku betul-betul bersyukur ialah aku berjaya mengkhatam al-Qur'an beberapa kali sejak di bangku sekolah lagi. Antara guru yang aku sukar lupakan ialah Mlm.Shamsul dan juga guru-guru yang lain. Andai kata aku tidak berada di sini, mungkin aku masih terpinga-pinga untuk mencari kebenaran di alam yang kian bermasalah dari sehari ke sehari. Inilah tempat yang aku cari.

Kini aku hampir meninggalkan bangunan tiga tingkat di sebelah aku ini kerana hanya lebih kurang setahun lagu aku akan berada di sana. Sebenarnya, aku dan rakan-rakan seperjuangan akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun hadapan. Tahun ini aku berada di kelas 4 Ibn-Khaldun bagi aliran sastera ikhtisas. Selama 10 tahun aku di sini, banyak kenangan pahit aku di sini kerana aku telah melalui banyak pengalaman termasuklah boleh belajar di dua bangunan sekolah menengah yang baharu. Gambar di sebelah adalah bangunan kedua yang terletak di tepi padang yang terbentang luas.

Pada masa yang sama, sekolah ini dilengkapi dengan sebidang tanah yang luas untuk dijadikan sebagai padang bola sepak. Segala aktiviti kokurikulum menjadi lebih senang setelah adanya padang yang menghijau mewarnai pemandangan yang menarik dari tingkat atas. Kini, sekolah kami sudah ditumbuhi berbagai-bagai rumah dan kedai yang tumbuh seperti cendawan yang segar. Sekolah aku terletak jauh sedikit dari bandar-bandar kerana sekolah kami terletak di kawasan kampung. Namun, sekarang sudah banyak perubahan yang berlaku seperti jalan raya diperluaskan malahan bertar hitam. Begitu kagum aku dapat belajar di sini.

Secara kesuluruhannya, sekolah ini sememangnya menjadi kebanggaan semua pelajar di sekolah tersebut kerana apa yang mereka harapkan telah menjadi satu kenyataan. Ramai produk telah berjaya dikeluarkan melalui sekolah yang pelajarnya agak bertambah dari tahun ke tahun. Buktinya, bangunan sekolah menengah terpaksa ditambah pada tahun 2007 disebabkan kebanyakan ibu bapa mendaftar di situ kerana mereka mengharapkan anak mereka menjadi antara anak yang soleh dan solehah malahan boleh membimbing orang lain pula di luar sana. Semoga sekolah ini menjadi kenangan terindah dalam kehidupan aku yang makin pancaroba ini.





Tuesday, December 2, 2008

Puisi 3

Siapakah Aku Dipandangan-Mu

Tuhan,
Siapakah aku dipandangan-Mu,
Sudah banyak dosa-dosa ku ini,
Aku sudah buntu sebenarnya,
Hanya pada-Mu aku bertaubat.

Tuhan,
Andai aku terlanjur,
Bantulah diri aku ini,
Aku masih mencari-Mu,
Aku masih di awanan.

Tuhan,
Mulai saat ini juga,
Aku akan mula muhasabah,
Agar Engkau ampunkan,
Hanya pada-Mu aku pasrah.

Friday, November 14, 2008

Gambar sekitar KRTC















Program Cuti Sekolah - 3 Hari 2 Malam di KRTC

Pada tanggal 11 November 2008, pelajar-pelajar Tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Sri Al-Amin Bangi telah mengadakan satu program tarbiah di Kalumpang Resort & Training Center yang terletak di antara Selangor dan Perak. Sebenarnya, tujuan diadakan aktiviti ini adalah untuk melahirkan pelajar yang mempunyai sifat kepimpinan, disiplin dan mengeratkan ukhuwah antara pelajar.


Pada masa yang sama, program ini juga disertai oleh mentor-mentor SPPM masing-masing. Mereka semua akan mentaksir menti-mentinya untuk direkodkan dalam buku SPPM setiap pelajar. Jadi, mereka akan lebih masak dengan sikap dan tingkah laku anak-anak mentinya yang pelbagai itu. Benarlah kata pepatah ‘ Rambut sama hitam tetapi hati lain-lain’ dan ‘ Banyak manusia maka banyaklah ragamnya’.


Pada hari pertama, antara aktiviti yang mula-mula sekali ialah Solat Asar berjemaah. Justeru, tazkirah yang berjudul ‘ Takut pada Allah ’ yang disampaikan oleh Saudara Mohd. Hafizan. Apa yang menarik dalam tazkirah tersebut ialah apabila beliau menceritakan sebuah kisah yang berkaitan dengan tajuk yang diberi. Selepas itu, kami semua diajak untuk makan petang di kantin dan ada antara kami yang pergi mandi sungai.


Hari seterusnya, kami semua memulakan aktiviti qiam bersama-sama. Kemudian, kami pun membuat sedikit senaman dan baharulah kami bersarapan. Beberapa jam kemudian, kami telah bermain satu ‘ game ’ yang dianjurkan oleh Mlmh. Roslina. Permainan tersebut agak menguji keakraban antara kami kerana ianya memerlukan kesanggupan untuk menyampaikan sekeping biskut dari bibir ke bibir. Di sinilah menunjukkan adakah ukhuwah sesama kita benar-benar akrab.


Pada hari yang sama, aku mengalami dua kemalangan yang agak menyakitkan. Pertama sekali, aku telah ditolak oleh arus sungai yang agak deras. Aku telah tersilap langkah lalu aku terus tergelincir di batu-batu yang licin sebelum ditolak oleh arus-arus sungai yang sedang mengalir. Aku bernasib baik kerana terdapat batu besar di tengah-tengah sungai tersebut yang membolehkan aku bertahan dari terus ditolak. Oleh sebab itu, badan aku terus berasa lenguh-lenguh akibat bertahan dari arus-arus yang mengalir kuat itu.


Kemalangan yang berikutnya adalah lagi mencemaskan dari yang mula-mula tadi. Pada waktu tengah hari, kami beramai-ramai ke sungai untuk menyejukkan badan. Pada mulanya, kami mandi-manda seperti biasa di tengah-tengah sungai. Pada ketika itu, Hafizan ingin mengajar aku untuk berenang tetapi aku menolak pada mulanya. Tetapi, aku terfikir bahawa aku telah menghampakan kesungguhan beliau untuk mengajar aku berenang maka aku pun sanggup untuk diajar kembali. Di situlah satu kisah yang agak membanggakan apabila aku diselamatkan oleh seorang sahabat bernama Hafizan kerana aku telah lemas pada ketika itu. Bagi aku, inilah pengalaman pahit manisku di sini kerana beliau sanggup menggadaikan nyawanya sendiri demi keselamatan aku.


Secara kesuluruhannya, program seperti ini banyak mengajarku erti kehidupan yang sebenar. Selain itu, erti kesetiaan yang perlu dititikberatkan dalam persahabatan seseorang. Kesimpulannya, kita perlulah berukhuwah kerana Allah untuk mendapatkan keredhaan dari-Nya.








Friday, October 31, 2008

Majlis Rumah Terbuka Sempena Hari Raya








Peperiksaan Akhir Tahun

Assalamu'alaikum.

Bulan ini adalah bulan peperiksaan akhir tahun untuk tahun ini. Oleh itu, aku perlulah mengulangkaji pelajaran pada minggu tersebut. Apa yang aku harapkanlah agar boleh jawab peperiksaan itu dengan tenang. Moga aku dan rakan-rakan memperoleh keputusan yang terbaik kelak.


Kepada sesiapa yang membaca isi kandungan ini, doakanlah kejayaan kami semua.




Wassalam.

Friday, September 26, 2008

Bila Ramadhan Di Penghujung

ANTARA RAMADHAN DAN SYAWAL

Hampir sebulan sudah kita berpuasa di bulan rahmat ini namun kita masih terkapai-kapai dengan segala jenis amalan yang melalaikan sedangkan bulan ini merupakan satu-satunya bulan yang terbaik bagi kita selepas Rejab dan Sya’ban. Andai kata kita belum cukup berpuas hati dengan segala ibadah kita di bulan ini maka janganlah terlalu gopoh untuk berpasrah kerana Allah masih mengasihi umat-Nya.

Bagi umat Islam, berpuasa adalah mengawal segala anggota dari terjerumus ke lembah kehinaan. Jadi, mereka akan berusaha untuk mendekatkan diri kepada tuhan yang berkuasa mentadbir seluruh alam ini termasuk planet bumi. Oleh itu, tidak hairanlah apabila ramai umat Islam yang berpusu-pusu ke surau mahupun masjid. Tujuan utamanya adalah untuk mendapatkan keredhaan Ilahi kerana pintu rahmat dibuka luas buat mereka yang inginkannya.

Secara umumnya, kebanyakan insan yang beriman akan berasa sedih untuk meninggalkan bulan yang penuh kerahmatan ini atas asbab mereka menganggap bulan ini mungkin yang terakhir bagi mereka sedangkan amal ibadah mereka masih belum tentu sempurna untuk dijadikan perisai di Hari Qiamat kelak. Tetapi, mereka yang belum tentu dikatakan beriman akan merasakan kegembiraan untuk berhari raya kelak kerana mereka akan berseronok dengan pakaian-pakaian baharu serta berwarna-warni itu. Maka, perlulah kita berfikir sejenak mengenai nikmat Allah yang pernah diberi mahupun ujian yang dihadapi.

Sebenarnya, masih ramai mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan kerana mereka tidak dapat berhari raya sepertimana kita berhari raya. Sekiranya kita berhari raya bersama keluarga tercinta serta bermacam-macam jenih juadah sedangkan saudara mara kita di Palestin pula berhari raya dengan dentuman-dentuman bom yang kuat. Pada masa yang sama, bagaimana dengan anak-anak yatim dan fakir miskin di sekitar halaman kediaman serta kampung kita yang berada dalam keadaan yang amat memilukan hati jika merenungnya.

Sewajarnya, kita seharusnya merasakan sesuatu yang amat berbeza berbanding orang lain kerana kita adalah orang yang terpilih untuk mengabdikan diri pada Yang Esa. Wallahu’alam.

Wednesday, September 17, 2008

Di Sebalik 17 Ramadhan

Secara umumnya, pada hari ini merupakan antara tarikh yang terpenting malah istimewa mengikut pengiraan kalendar hijrah kerana diturunkan al-Qur'an. Al-Qur'an ialah kalam Allah yang bermukjizat diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui Malaikat Jibril dalam bahasa Arab, diriwayatkan secara mutawattir dan membaca setiap hurufnya adalah ibadah iaitu bermula dari Surah al-Fatihah dan berakhir dengan Surah an-Nas.

Pada masa yang sama, Nuzul Qur'an boleh didefinisikan sebagai penurunan dari Luh Mahfuz ke Baitul 'Izzah di langit dunia dan dari langit dunia kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui perantaraan Malaikat Jibril yang mengambil masa lebih kurang 23 tahun.

Secara kesuluruhannya, al-Qur'an adalah satu-satunya kitab yang kekal hingga Hari Qiamat kelak. Maka kita sebagai umat akhir zaman perlu menjaga dan memelihara isi kandungannya dari disingkirkan dari mereka yang tidak bertanggungjawab. Semoga kita mendapat keredhaan dari apa yang kita baca.


Wednesday, September 10, 2008

Puisi 2

Anugerah Ilahi

2008 akan melabuh tirainya,
2009 pula bakal menyusurinya,
bertuah sungguh tahun ini,
1 september adalah 1 ramadhan.

marilah bersama mengkaji sirah,
bulan ini lagi banyak syafaat,
allah membuka pintu syurga,
agar manusia terus bertaubat.

bulan syawal hari kemenangan,
bertasbih tanda keagungan allah,
mohon maaf sesama insani terdekat,
agar bulan ini menjelma lagi kelak.

Tuesday, September 9, 2008

Puisi 1

Satu Bukan Seribu

hari ini ku mencari,
esok pula ku membeli,
hari tulat ku gunai,
hari berikut ku simpani.

ku gunainya untuk menulis,
adakalanya untuk pengiraan,
mahupun membentuk sesuatu,
jasamu bukan hanya sekali.

bulan ini bulan rahmat,
hanya sekali setahun,
nabi kita Nabi Muhammad,
bagindalah perisai hidup.


UNIC & IN-TEAM - Kemuliaan Ramadhan

Skrip Al-Qur'an

Skrip As-Sunnah

Media Massa