Suara Murni


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Wednesday, January 13, 2010

GLC, korporat diseru bantu rumah jagaan AKUKT

Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 12 Jan: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyeru semua pihak yang prihatin termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) agar tampil menghulurkan bantuan kepada golongan yang kurang bernasib baik.
"Saya rasa terpanggil untuk mengajak semua pihak termasuk diri saya untuk memikirkan bantuan yang munasabah bagi membimbing dan meringankan beban keluarga anak-anak kurang upaya terlantar ini,” ujarnya.
Beliau membuat gesaan itu selepas melawat anak kurang upaya kritikal terlantar (AKUKT) milik Persatuan Sokongan Ibu dan Anak Kurang Upaya Azwar Kuala Lumpur dan Selangor (Psiaku Azwar) di Perumahan Awam Sri Perak, Bandar Baru Sentul, dekat sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berharap pihak GLC memberikan bantuan kepada persatuan yang masih memerlukan bantuan untuk menyara kos pengurusan rumah jagaan berkenaan.
"Saya sangat simpati dengan ibu-ibu dan keluarga yang mempunyai anak kurang upaya terlantar ini. Hari ini sesuatu yang menyayat hati saya walaupun sebelum ini saya pernah lihat anak-anak begini tapi hari ini saya cukup tersentuh melihat mereka dalam jumlah yang ramai.
"Saya mengajak orang ramai termasuk syarikat milik kerajaan (GLC) yang boleh membantu persatuan seperti ini dari segi rawatan bulanan. Syarikat GLC dan syarikat-syarikat korporat boleh mengambil pendekatan sama ada menghulurkan bantuan kewangan ataupun mencari sukarelawan dan sebagainya," katanya.
Seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub yang turut serta juga berharap agar mana-mana pihak yang berkemampuan datang dan bertanya bentuk bantuan yang diperlukan persatuan itu.
"Setelah melihat pusat jagaan ini, saya harap pihak yang berkemampuan dapat bagi bantuan sebab kita sedia maklum mesin perubatan yang digunakan anak ini sangat mahal. Oleh itu badan-badan korporat mungkin boleh tampil berikan bantuan untuk menampung beban mereka," katanya.
Tambahnya, pihak Kementerian Kesihatan juga harus lebih serius dalam memberikan pendidikan kesihatan kepada wanita khususnya ibu yang mengandung dalam memastikan mereka mengetahui punca kelahiran anak yang tidak sempurna dan cara mengatasinya.
"Kementerian Kesihatan diharap lebih serius memberikan pendidikan kesihatan kepada bakal ibu supaya kes seperti ini yang berpunca daripada demam panas, kuning, kelahiran pra matang dan juga kesan pil perancang keluarga punca lahirnya anak cacat.
"Satu kursus khas mesti dianjurkan oleh kementerian untuk memberi kesedaran kepada mereka," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.
Mahfuz dan Salahuddin turut menghulurkan bantuan peribadi kepada persatuan berkenaan selain berjanji akan terus memanjangkan perkara itu kepada pihak lain.
Mahfuz juga bersetuju menyumbangkan sebuah komputer untuk digunakan pihak persatuan di rumah jagaan itu.

No comments:

Skrip Al-Qur'an

Skrip As-Sunnah

Media Massa