Mohd Nazree Yunus |
Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak Malaysia) menyeru agar semua pihak pelbagai agama termasuk pimpinan parti-parti politik tidak mempolitikkan isu agama termasuk isu penggunaan kalimah Allah. |
Agama tidak boleh dipolitikkan secara khianat namun kita harus menggunakan pendekatan dan nilai keilmuan yang wujud dalam agama untuk menangani masalah yang berlaku melibatkan pertikaian penggunaan kalimah Allah oleh sebuah majalah terbitan pihak Kristian. Dengan kaedah ini maka imej dan integriti agama dan pengamal agama dapat dikekalkan. |
Gerak bimbang jika isu ini dipolitikkan untuk tujuan sempit sesetengah pihak termasuk menyalahgunakan penggunaan kalimah Allah maka integriti agama bagi agama-agama yang terlibat dalam pertikaian ini akan terjejas. |
Gerak menggesa agar seluruh rakyat yang menganuti agama Islam dan Kristian bertenang dan tidak menimbulkan ketegangan agar isu penggunaan kalimah Allah ini tidak menjejaskan integriti agama masing-masing. |
Mana-mana pihak yang sengaja mempolitikkan isu ini secara khianat sama ada oleh pengamal agama mahupun ahli politik adalah secara tidak langsung menjerumuskan diri mereka untuk meletakkan nilai integriti agama mereka pada tahap yang rendah. Ini tidak dibolehkan oleh mana-mana agama sekalipun. |
Bagi kumpulan yang ingin mempertahankan tindakan mereka pula perlu untuk merujuk kepada fakta-fakta atau dalil-dalil yang terdapat di dalam ajaran agama masing-masing untuk meletakkan kembali isu ini pada tahap yang sebenar. |
Tindakkan untuk cuba memanipulasikan dalil-dalil agama bagi tujuan jahat tertentu juga adalah tidak dibenarkan dan ini sememangnya jelas terkandung dalam ajaran Islam. Dalam aspek yang lain, tindakan mempertahankan agama tanpa hujah yang berkesan juga akan menimbulkan kekeliruan terhadap kelompok masyarakat yang lain. |
Gerak ingin menegaskan agar semua pihak bersedia untuk bertoleransi secara bertanggungjawab agar isu penggunaan kalimah Allah ini mampu diselesaikan secepat mungkin bagi memelihara nilai integriti dan kesucian agama. |
Toleransi ini wajar dikembalikan kepada nilai keilmuan yang wujud dan juga dinisbahkan kepada kondisi suasana dakwah di Malaysia. |
-------------------------------- |
Penulis adalah Pengerusi Gerak Malaysia |
No comments:
Post a Comment