Suara Murni


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Tuesday, January 19, 2010

Malaysia manfaat hubungan dengan UAE: PM

Daripada Dzulkfley Zanudin

ABU DHABI: Malaysia memanfaatkan hubungan dua hala serta kepakaran teknologi hijau Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi meningkatkan kemasukan dana pembiayaan asing dari negara rantau Teluk, selain mengeksport kemahiran syarikat tempatan ke sini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, syarikat Malaysia perlu mengutamakan mutu dan hasil kerja untuk mengekalkan kepercayaan diberikan pihak berkuasa UAE kepada mereka.

Lantaran itu, katanya, prestasi syarikat Malaysia perlu mengikut tanda aras antarabangsa bagi membida projek mega di rantau Teluk.

Bercakap kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir lawatan rasmi empat hari ke UAE, terutama Abu Dhabi, Perdana Menteri berkata, beliau berpuas hati dengan hasil kunjungan itu yang mendapat sambutan menggalakkan dan pencapaian begitu memuaskan.

Beliau berkata, dalam pertemuan dengan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohammad Zayed Al Nahyan, pada hari pertama lawatan, agensi pelaburan UAE, Mubadala Development Company diarah mengenal pasti pelaburan baru di Malaysia, terutama bidang hospitaliti, termasuk kemungkinan membina hotel di Malaysia.

Bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan dagangan kedua-dua negara, Sheikh Mohammad menyatakan hasrat melawat Malaysia tahun ini.
"Saya juga berasakan mereka menunjukkan hasrat begitu tinggi apabila Masdar menandatangani perjanjian dengan nilai projek AS$100 juta sebagai peringkat permulaan untuk melaksanakan kaedah dan konsep bandar Masdar yang bebas karbon di sini.

"Projek seumpama itu dengan skala lebih sederhana turut dirancang di Malaysia. Kita berharap sesuatu dapat dimulakan menjelang lawatan rasmi Sheikh Mohammad," katanya.

Hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Datuk Mustapa Mohamed; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Ditanya lanjut mengenai projek Masdar di Malaysia secara usaha sama dengan 1Malaysia Development Bhd, Perdana Menteri berkata, pembangunan kawasan itu menggunakan teknologi hijau terkini.
"Kita dapat manfaat daripada pelaburan mereka dan kemahiran kemapanan teknologi hijau tanpa melabur bagi mewujudkan konsep pembangunan Masdar di Malaysia," katanya

Beliau juga berkata, sepanjang lawatan itu, syarikat dan profesional Malaysia didapati berjaya dalam bida antarabangsa di UAE sebagai kontraktor, pengurus projek serta penawaran khidmat profesional seperti pakar kewangan dan peguam.

Pada hari terakhir lawatan, katanya, syarikat Malaysia, Kemuncak Facilites Management Sdn Bhd (KFM) turut menjalin usaha sama tiga pihak dengan syarikat UAE (Allen & Shariff Corporation) dan Amerika Syarikat (Consortium International) bagi memberi nasihat kepakaran dan pengurusan projek membangunkan kawasan atau bangunan sebagai pembangunan hijau.

Katanya, ini sejajar Bajet 2010 dan Model Ekonomi Baru yang mana teknologi hijau dan teknologi boleh dibaharui menjadi satu dimensi bagi menjana sumber pertumbuhan baru negara.

Perdana Menteri berkata, hasil pertemuan dengan Pemerintah Dubai, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum yang juga Perdana Menteri UAE, beliau menghargai peluang diberikan kepada syarikat Malaysia, terutama dalam projek pembangunan ikonik, Meydan, Dubai.

"Arkitek dan pengurus projek mega itu rakyat Malaysia, manakala komponen struktur keluli dan tempat duduk stadium di kompleks itu turut dibekalkan syarikat Malaysia," katanya.

Beliau turut membuat kunjungan hormat ke atas Putera Mahkota Wilayah Barat, Sheikh Hamdan Zayed Al Nahyan yang berhasrat melawat Malaysia, tahun ini selain diberitahu mengenai peluang pembangunan seperti lebuh raya dan perbandaran yang boleh disertai syarikat Malaysia.

Perdana Menteri juga berkata, penyertaan rakyat Malaysia di sini menggambarkan semangat 1Malaysia berikutan semua kaum diberi kepercayaan dalam projek pembangunan Abu Dhabi dan UAE dengan syarat mempunyai kepakaran.

No comments:

Skrip Al-Qur'an

Skrip As-Sunnah

Media Massa